CATATAN SEBELUM INI

PENGIKUT SETIA

Wednesday, May 27, 2009

Dua Kelab Penyokong Kelantan Terima Apa Jua Keputusan KAFA

KUALA LUMPUR, 26 Mei (Bernama) -- Dua kelab penyokong bola sepak pasukan Kelantan bersedia untuk menerima dan menyokong apa jua keputusan yang bakal diputuskan mesyuarat Majlis Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA) esok, sama ada menarik diri atau meneruskan baki saingan Liga Super.

Presiden Kelab Penyokong Siber Bola sepak Kelantan (Kelate.Net) Marhashim Mat berkata seboleh-bolehnya mereka tidak mahu Kelantan yang baru dinobatkan sebagai naib juara Piala FA 2009 menarik diri.

"Ini kerana jika perkara itu berlaku ia amat merugikan terutamanya dari segi pembangunan bakat-bakat muda yang ada di Kelantan," katanya ketika dihubungi Bernama di sini hari ini.

Marhashim berkata pihaknya akan meminta KAFA sekali lagi mencari jalan penyelesaian kepada masalah penggantungan Stadium Sultan Mohammad Ke-IV sebagai gelanggang sendiri yang membawa kepada isu penarikan diri itu.

"Jalan penyelesaian masih belum tertutup sepenuhnya kerana mungkin boleh mengajukan terus masalah ini kepada presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) Sultan Ahmad Shah," katanya.

Beliau berkata walaupun begitu pihaknya tetap berpendirian untuk menyokong penuh apa juga keputusan yang akan dibuat oleh KAFA, yang turut disokong oleh pengerusi Kelab Penyokong Bola sepak Kelantan, Mohd Yahya Jamada Ali.

"Kita tetap berdiri teguh di belakang KAFA jika hasrat menarik diri diteruskan juga," kata Mohd Yahya ketika dihubungi.

Beliau berkata pihaknya tidak mahu melihat kisah lama berulang kembali iaitu KAFA terpaksa menanggung beban kewangan yang akhirnya akan memusnahkan pasukan itu sendiri.

"Kemeriahan di dalam bola sepak tempatan akan hilang serinya pada tahun ini kerana persembahan Kelantan merupakan salah satu faktor yang menjadikannya lebih menarik terutamanya dari segi sokongan peminat," katanya.

Presiden KAFA, Tan Sri Annuar Musa sebelum ini dilaporkan berkata antara pilihan yang mungkin terpaksa dibuat adalah menarik diri daripada meneruskan baki perlawanan Liga Super.

Ini berikutan keputusan FAM yang mengekalkan hukuman penggantungan Stadium Stadium Sultan Mohammad Ke-IV itu sejak 9 April lepas kerana insiden rusuhan penyokong walaupun KAFA telah merayu sekaligus terpaksa menanggung kerugian RM30,000 setiap perlawanan yang berlangsung di Stadium Nasional Bukit Jalil.

Jika Kelantan benar-benar menarik diri, mereka akan menjadi pasukan kedua yang terkeluar pada musim ini, selepas Johor Majlis Bandaraya Johor Bharu (MBJB) disingkirkan FAM berikutan masalah insurans.

-- BERNAMA

JOM DERMA

Create your own banner at mybannermaker.com!
Copy this code to your website to display this banner!
redkijang © 2008. Design by :Yanku Templates Sponsored by: Tutorial87 Commentcute