CATATAN SEBELUM INI

PENGIKUT SETIA

Monday, January 25, 2010

ROYALTI: SIAPA YANG CELUPAR?

Pada umumnya, Orang Melayu ini beragama Islamlah. Akan tetapi , apabila ada parti Melayu dan pemimpin parti Melayu sebut agama lain politik lain maka inilah masalah. Ini kecelaruan pemikiran dan ini keceluparan. Keceluparan jenis ini tidak terbanding dengan keceluparan saya seperti yang dituduh Dato’ Awang Adek dalam kenyataannya di Pasir Mas pada 6 Disember 2009.

Saya dilihat celupar semata-mata kerana mempertahankan hak rakyat Negeri Kelantan untuk mendapatkan royalti. Saya dilihat celupar kerana ingin terus berdoa kepada Allah SWT agar Allah membuka pintu hati Perdana Menteri dan tidak terus menzalimi rakyat Kelantan. Saya dilihat celupar semata-mata kerana menegur presiden Umno diatas keengganan beliau untuk memberikan royalti itu kepada sebuah kerajaan negeri yang sah. Saya dipandang celupar kerana mendoakan kemusnahan kepada sesiapa jua yang zalim kerana royalti itu hak dari perut bumi kami. Ia hak yang termaktub melalui sebuah perjanjian bertulis yang sempurna di tahun 1974.

Celuparkah saya semata-mata kerana jujur membaca dan menafsir maksud perjanjian itu tanpa keliru? Kenapa harus ditukar pemberian dari royalti kepada wang ehsan dan diberi pula melalui sebuah jabatan kerajaan? Semua orang tahu, JPP itu bukan kerajaan. Seperti Jabatan Pertanian atau Jabatan perkhidmatan Haiwan, ia cuma Jabatan kerajaan. Pada saya sikap Umno yang sekular selama inilah yang menghalalkan dia bertindak sebegitu liar. Ini kerana Ugama Islam telah diletak diluar dari kandang politik dan pemerintahan. Dia(Umno) meletakkan soal dosa pahala diluar dari urusan pemerintahan. Barangkali bagi Umno, agama tidak lebih dari pengertian “religion” seperti apa yang difahami oleh orang barat. Inilah punca atau ibu kapada segala keceluparan Umno baik dalam isu royalti di Kelantan atau pelbagai isu keadilan, rasuah, demokrasi dan good governance disepanjang 52 tahun pemerintahan.

Sikap Umno yang menolak Islam syamil yakni Islam komprehensif padahal Allah Taala sebut, “ud khulu fis silmikaafah” iaitu hendaklah kamu terima Islam secara keseluruhan ini amat-amatlah mendukacitakan. Sepanjang berpuluh tahun menegur pendirian yang salah ini, seingat saya, saya belum lagi menerima respons Umno baik secara bertulis ataupun lisan. Ini yang menyebabkan kita tidak sanggup lagi ditipu melalui coklat Kit Kat bernama Kerajaan Perpaduan. Itu pertama .

Kedua, sesungguhnya amalan ia bercanggah dengan amalan Nabi SAW sendiri. Pada bila-bila masa sekalipun, tidak ada ruang dalam hidup Nabi, dalam hidup para khalifah dan para sahabat r.a. yang mengasingkan politik dengan agama dan agama dari politik.

Yang ketiga, didalam al-Quran; segala keperluan hidup manusia meliputi masalah sosial, masalah akidah, masalah ekonomi, masalah rumah tangga, masalah aman dan damai, masalah protokol dan hubungan diplomatik termasuk mengirim surat kepada semua raja dan pembesar negara- semua sekali ada disentuh. Ia disempurnakan lagi oleh riwayat dan hadith-hadith Nabi SAW.

Yang keempat bila kita asingkan politik dari agama, kita nak ganti dengan apa di tempat yang lompang itu? Ia sama ada kita turut penjajah atau turut nafsu ammarah kita. Dengan amalan songsang berkenaan apa jaminan di akhirat kelak, apa yang kita tiru selain dari Islam itu, akan mendapat keredhaan Allah?

Yang kelima, jika hidup kita dapat diurus sendiri tanpa perlu menurut Islam, apa gunanya kita dikirimkan oleh Allah SWT seorang Nabi? Manusia boleh fikir sendiri dan berbuat sesuatu mengikut nafsu sendiri? Pegangan dan amalan ini cukup sinonim dengan parti Umno. Inilah parti dan orang yang sebenar-benarnya boleh kita gelarkan sebagai bermulut celupar.

Seingat saya, sewaktu isu hak royalti mula-mula timbul, “orang ini” jugalah yang menyebut bahawa Kelantan tidak ada hak ke atas royalti. Ini terang-terang mendahului Perdana Menteri. Macam mana PM yang juga Presiden Umno di ketika itu, belum kata apa-apa dan belumpun putus apa-apa lagi, tiba-tiba Timbalan Pengerusi Umno Negeri sudah membuat keputusan? Ini orang panggil mendahului bos. Ini sebuah keceluparan yang melampau. Lebih melampau lagilah apabila kita hubungkan sikap celupar Dato’ Awang ini dengan sikap menolak Islam Umno yang lebih besar. Keceluparan jenis ini dua kali ganda lebih berbahaya.

Dengan pengisytiharan Perdana Menteri Malaysia terkini yang Kelantan akan diberi wang ehsan pula (walaupun saya tetap tidak boleh terima dan tetap akan terus berdoa), maka sahlah yang Dato’ dari Bachok ini sudah melampau batas. Dengan menyalahi segala tertib dan protokol, dia sudah menjadi terlebih celupar.

Hari ini pula, Perdana Menteri berkata bahawa beliau hanya akan mengikut undang-undang. Setahu saya, Akta Pembangunan Petroleum 1974; itulah undang-undangnya dan Kuli lah yang terlibat secara langsung dalam merangka serta menentukan kandungannya. Melalui blog beliau dalam Razaleigh.com misalnya, kita diberitahu dengan jelas bahawa perjanjian yang ditandatangani oleh semua Kerajaan Negeri dengan Petronas di ketika itu dibuat dalam Bahasa Malaysia dan Bahasa Inggeris yang sangat mudah hingga mana-mana budak sekolahpun boleh faham.( That agreement is made out in language simple enough for a schoolboy to understand, in both Bahasa Malaysia and English).

Dalam konteks hak royalti 5% Kerajaan-Kerajaan Negeri, Yang Amat Mulia Tg. Razaleigh menyebutnya begini:”The States’ rights to 5% of profit derived from the extraction of any petroleum resources is based on a quid pro quo according to which the States vested entirely and in perpetuity all their rights and claims to petroleum resources to PETRONAS. In return for this PETRONAS is legally bound to pay the states the 5% directly.” Pada saya ini terlalu jelas.

Keengganan pusat memberi royalti kepada Kelantan dengan menukarnya dalam bentuk pemberian wang ehsan bukan sahaja akan melanggar Akta Pembangunan Petroleum 1974, bahkan lebih besar, kerajaan Pusat juga akan dilihat menidakkan perjanjian yang sama terhadap negeri-negeri lain sekaligus menafikan hak rakyat di negeri-negeri tersebut. Mustahil kerajaan-kerajaan negeri lain tidak khuatir dengan sikap dan pendirian Kerajaan Pusat pimpinan UBN yang tidak konsistan.

Dengan sedikit kajian seperti yang saya kutip dari analisis di atas, saya betul –betul tidak faham bagaimana boleh seorang Perdana Menteri, masih yakin yang beliau bercakap mengikut undang-undang. Undang-undang mana lagi sedangkan apa yang Kuli sebut itulah undang-undangnya ! Di sini,salahkah jika mana-mana rakyat yang waras beranggapan yang Perdana Menteri mereka sudah meracau? Lebih teruk dari Awang Adek, Presiden Umno sendiri boleh dilihat sedang bercakap merapik dan bercakap celupar ?

Dalam menangani hal-hal yang berbelit-belit seperti inilah kadang-kadang, hati saya cepat terluka. Dalam keadaan-keadaan beginilah juga, kedua belah tangan saya menjadi cukup ringan untuk diangkat ke langit. Jika orang marah saya berdoa dan mengadu kepada Allah secara kuat dan terbuka ditempat ramai dalam kes penganiayaan ini, maka siapakah yang boleh menghalang saya dan rakyat saya dari terus berdoa dalam gelap di malam buta biarpun bersendirian? Saya pasti, pada akhirnya Allah tidak akan bersama dengan orang-orang yang menindas, zalim dan menekan.

"Bahkan Dialah (Allah) yang kamu seru lalu Dia hapuskan bahaya yang kamu pohonkan kepadaNyajika Dia kehendaki dan kamu lupakan apa yang kamu sekutukan (dengan Allah dalam masa kamu ditimpa bahaya itu.)
- Maksud Surah al-An 'am, Ayat 41-



sumber daripada; Blog Tok Guru

0 comments:

Post a Comment

Blog Archive

JOM DERMA

Create your own banner at mybannermaker.com!
Copy this code to your website to display this banner!
redkijang © 2008. Design by :Yanku Templates Sponsored by: Tutorial87 Commentcute